Monday, 8 September 2014

SUKAN TAHUNAN KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN KRAFTANGAN DI TG BIDARA RESORT MELAKA (19-22 JUN 2014)



Hari Pertama (Jumaat 20.6.2014)
Saya telah menyertai sukan ini yang telah diadakan di Tanjong Bidara Resort Melaka iaitu lokasi pertandingan ini. Saya mewakili kumpulan IKN (Institut Kraf Negara) di mana kumpulan kami menyertai hampir ke semua acara yang dipertandingkan. Sepatutnya saya bertolak pada Khamis petang (19.6.2014) tetapi disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, saya hanya bertolak ke Melaka pada 20.6.2014 iaitu tepat jam 12.35 tengahari dari Kuala Lumpur. Sebelum itu, sebelah paginya, saya ke pusat servis SYM di Segambut untuk menukar tayar motosikal kerana keadaan tayar yang botak serta menggelembong di beberapa bahagian tayar belakang dan ini membahayakan lebih-lebih lagi bagi perjalanan yang jauh. Saya mengambil keputusan untuk menunggang motosikal kerana ingin merasai keseronokkan menunggang motosikal di samping ini merupakan perjalanan pertama saya yang jauh dengan bermotosikal. 
Setelah menukarkan tayar dan mengisi minyak, saya memulakan perjalanan saya memasuki Lebuh Raya Utara Selatan iaitu bermula dari Plaza Tol Sg. Besi. Perjalanan sejauh 195km ini melalui dua jenis jalan iaitu menggunakan Lebuh Raya dan jalanraya biasa. Perjalanan yang lancar walaupun
terdapat banyak kenderaan yang menuju ke selatan. Saya tetapkan kelajuan antara 110km/j - 120km/j kerana bagi memastikan keselamatan ketika menunggang. Saya menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri di Seremban dan selepas itu meneruskan perjalanan semula dengan memasuki Lebuh Raya. Di tengah perjalanan, saya berhenti sebentar di Hentian Sebelah Pedas-Linggi untuk berehat seketika kerana keadaan cuaca yang panas yang memaksa saya membasahkan tekak sebelum meneruskan perjalanan. Setelah berehat dalam 15 minit, saya meneruskan perjalanan semula dan keluar melalui susur keluar persimpangan Simpang Ampat. Dari sini bermulalah perjalanan menggunakan jalan biasa dua hala dengan perjalanan sejauh 30km lagi untuk sampai ke destinasi. Perjalanan melalui beberapa bandar iaitu Alor Gajah dan Masjid Tanah. Saya akhirnya tiba di destinasi tepat jam 4.00 petang.
Keindahan panorama desa di Tg Bidara
 Saya bersyukur kerana perjalanan yang lancar tanpa sebarang masalah serta kepuasan ternyata dapat saya rasai lebih-lebih lagi melalui jalan kampong dengan pandangan suasana desa yang mendamaikan. Aktiviti seterusnya ketika tiba di Tg. Bidara Resort adalah daftar masuk di resort dan berehat seketika melepaskan kepenatan. Selepas mengejakan solat Asar, saya mula melihat rakan-rakan yang sedang bertarung dalam acara masing-masing di sekitar resort ini.
Hari Kedua (Sabtu 21.6.2014)

Acara rakit sedang dipertandingkan
Sepanjang hari ini saya mengambil kesempatan untuk memberi sokongan kepada pasukan saya dalam berbagai acara yang dipertandingkan bermula selepas minum pagi sehinggalah pada petangnya. Berbagai acara dipertandingkan antaranya futsal, bola tampar, bola jarring, karem, dat, badminton serta acara tarik tali. Saya mengambil acara tarik tali yang diadakan sebelah petang. Malangnya pasukan saya kalah pada pusingan pertama lagi.
Berselfie...:)

Selain dari itu, pertandingan rakit juga dipertandingkan dan ia amat menguji kepintaran, kreativiti dan fizikal kerana peserta buka hanya perlu berakit tetapi perlu membinanya sendiri. Seramai tujuh orang peserta bagi setiap rakit yang dibina dan ia mendapat sambutan yang hangat di kalangan peserta dan penonton.

Peserta sedang berakit di laut



Pertandingan Badminton Sedang Berlangsung


Pada sebelah malamnya pula diadakan upacara penutup dan penyampian hadiah kepada para pemenang. Juga jamuan makan malam diadakan kepada semua peserta. Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia. Pengerusi Kraftangan Malaysia juga hadir pada majlis ini.
Di majlis ini juga diadakan majlis penghargaan kepada kakitangan yang telah bekerja bersama Kraftangan selama 25 tahun. Seramai 11 orang kakitangan penerima diraikan pada majlis ini.

Ahad (22.6.2014)

Sukan Tahunan melabuhkan tirai pada pagi Ahad dan semua kontigen mulai meninggalkan venue mulai tengahari. Saya bergerak pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 1.00 tengahari dan mengambil keputusan menggunakan jalan alternatif iaitu jalan lama yang telah lama saya tidak lalui. Walaupun mengambil sedikit masa untuk sampai ke Kuala Lumpur, tetapi pemandangan yang cantik di sepanjang perjalanan amat menghiburkan. Semoga saya akan berkesempatan lagi untuk datang melawat ke Negeri Melaka pada masa-masa akan datang... Insyallah!



No comments:

Post a Comment