(2 Okt 2013 - 5 Okt 2013)
Saya telah dijemput oleh The SUPPORT Arts and Crafts International Centre of Thailand atau singkatannya SACICT mewakili bagi pihak Karyaneka. Ia merupakan inisiatif SACICT dengan menghimpunkan usahawan kraf dari serata Thailand. Ia sebagai platfom untuk bertukar pendapat serta berkongsi pengalaman bagi memertabatkan industri kraf tempatan. SACICT juga telah menjemput beberapa negara seperti Malaysia dan Singapura untuk melihat dengan lebih dekat industri juga mengadakan jalinan perniagaan antara usahawan dan pengimpot dari luar negara.
Saya telah bertolak dari Kuala Lumpur iaitu pada 2 Oktober 2013 melalui penerbangan Malaysia Airlines. Perjalanan mengambil masa 2 jam dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok pukul 5.30 petang waktu Bangkok. Cuaca adalah panas ketika saya tiba di sana. Seterusnya saya mengambil penerbangan domestik melalui Thai Airways ke Lapangan Terbang Surat Thani. Penerbangan mengambil selama 1 jam dan saya telah tiba di sana pada pukul 8.30 malam waktu Thailand. Di sana saya disambut oleh pegawai SACICT iaitu Mr. Pat. Dari sana saya terpaksa menaiki kenderaan van untuk ke Nakhon Si Thammarat di mana seminar ini diadakan. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam lagi dan tiba di Nakhon Si Thammarat jam 10.30 malam. Pihak SACICT telah menyediakan penginapan kepada saya di Ligor City Hotel, Nakhon Si Thammarat, Thailand, di mana seminar ini diadakan.

3 Oktober 2013 - Saya bangun awal pagi bagi persediaan menghadiri seminar ini. Sarapan disediakan oleh pihak hotel. Tiada apa yang boleh saya makan melainkan roti bakar , telur rebus dan secawan kopi kerana saya was-was dengan makan lain yang disediakan. Hanya dapat mengalas perut untuk beberapa jam sahaja. Apa pun, setelah mengambil sarapan di hotel tersebut, program dimulai jam 9.00 pagi. Pada upacara perasmian ini, saya dapat bertemu dengan Pengarah SACICT. Banyak perkara yang kami bincangkan terutama yang berkaitan dengan cabaran, trend pasaran serta survival industri kraf yang pada masa kini dihadapi bukan sahaja di Negeri Thai tetapi juga di negara-negara Asean yang lain. Tidak terkecuali di negara Malaysia juga. Dalam seminar ini juga terdapat dua orang penceramah yang membentangkan kertas kerja iaitu En Edwin Low, seorang pereka dari Singapura yang membentangkan mengenai trend pasaran dan rekabentuk terkini produk kraf khusus bagi kegunaan reka bentuk dalaman.Penceramah kedua adalah En Frankie Chia, seorang ahli perniagaan dari Singapura yang juga merupakan Presiden Pengusaha bagi Industri Kraf di Singapura. Beliau membentangkan kertas kerja mengenai cara-cara mengekspot produk ke Singapura serta maklumat yang perlu diketahui oleh pembekal dari Thailand yang ingin mengekspot produk ke Singapura. Berbagai maklumat diperolehi oleh peserta seminar dan sebahagiannya adalah pengusaha yang sedang mencari peluang ekspot ke luar negara.
4 Oktober 2013 - Hari kedua adalah lebih bertumpu kepada program padanan perniagaan di antara usahawan Thailand dengan pengimpot dari Singapura. Saya hanya menghadiri untuk masa yang singkat sahaja dan selepas makan tengahari, saya telah dibawa oleh pihak sekretariat melawat sekitar bandar Nakhon Si Thammarat bermula di kawasan jualan produk kraf khusus kepada produk perak. Terdapat deretan yang panjang yang menjual pelbagai produk perak daripada bagi kegunaan harian sehinggalah kepada barangan perhiasan. Selepas itu, menjelang senja, kami telah dibawa menjamu selera di satu restoran Thailand yang menghidangkan lauk kebanyakkannya adalah dari ikan. Oleh yang demikian, saya tiada masalah merasai ke semua hidangan yang dihidangkan. Barulah saya diberitahu bahawa masyarakat di sini amat menggemari ikan sebagai menu wajib bagi setiap hidangan mereka.
![]() |
| Restoran yang kami kunjungi |

Selepas selesai menjamu selera, kami telah dibawa melawat ke pasar malam di tengah-tengah bandar yang khusus menjual produk kraf. Berbagai jenis kraf yang boleh diperolehi di sini dan ianya dibuat dari pelosok tempat di seluruh Thailand. Selain itu, terdapat juga jualan makanan tempatan dari berbagai jenis dan warna. Walaupun ini merasainya, tetapi disebabkan saya was-was akan cara penyediaan, maka saya hanya melihat sahaja. Selepas itu, kami bergerak ke satu pesta keramaian (pesta bagi meraikan kembalinya anak-anak tempatan dari perantauan yang disambut setiap tahun) yang diadakan di sebuah wat. Saya tidak mengingati nama wat tersebut tetapi ramai yang datang mengunjunginya. Bagaikan pesta di mana bermula perarakan kereta berhias sehingga banyak gerai jualan terdapat di sekitar wat ini.Tiada apa-apa yang boleh dimakan kerana ianya tidak halal di samping cara penyediaannya yang tidaak bersih. Walaupun begitu, antara yang menarik perhatian saya dari gerai-gerai yang terdapat di situ adalah satu gerai yang menjual serangga goreng. Sebelum ini saya hanya melihatnya di tv melalui rancangan National Geographic, tetapi kali ini saya melihatnya secara life. Pelik melihat ramai yang silih berganti mengunjungi gerai ini. Mungkin kerana kerangupan serangga goreng yang menyebabkan ramai yang membelinya. Antara serangga yang dijual termasuklah ulat sagu, belalang dan ulat sutera. Kemungkinan ianya dijadikan kudapan seperti makanan ringan yang biasa terdapat di negara Malaysia.
5 Oktober 2013
Saya pulang ke tanah air pada keesokkan harinya dengan menaiki pesawat dari Bangkok ke KLIA. Penerbangan pulang memberi peluang kepada saya untuk tidur sepanjang penerbangan ini. Apa pun, banyak pengalaman berharga yang dapat saya kutip biarpun hanya beberapa hari lawatan saya di sana. Insyallah, saya akan mengunjunginya bila berkesempatan pada masa hadapan.
![]() |
| Bersama salah seorang pegawai sekretariat yang menjadi pemandu pengiring semasa lawatan ke sana |






No comments:
Post a Comment